HIBAH
WASIAT
  • Pemberian harta yang berlaku semasa hidup pemberi hibah.
  • Pemberian milik oleh seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan dengan menggunakan lafaz ijab dan qabul atau seumpamanya.
  • Pemberian harta yang berlaku selepas kematian pewasiat.
  • Pemberian atau sumbangan oleh seseorang kepada orang atau pihak lain setelah dia meninggal dunia sama ada perkataan wasiat itu diucapkan atau tidak.

 Kedua-dua instrumen ini digalakkan dalam Islam, di mana sekiranya ia dilakukan dengan betul dan selaras dengan kehendak syarak maka ia boleh mengelakkan berlaku pertikaian dan perebutan harta.


HIBAH


 Ciri-ciri hibah adalah seperti berikut:

  1. Suatu akad pemberian milik harta kepada sesuatu pihak.
  2. Harta yang boleh dihibah ialah ain harta, bukannya hutang atau manfaat.
  3. Akad hibah dibuat tanpa mengenakan sebarang balasan (iwad).
  4. Akad hibah berkuat kuasa semasa hidup pemberi hibah.
  5. Akad hibah dibuat secara sukarela tanpa paksaan.
  6. Akad dibuat bukan bertujuan untuk mendapat pahala atau memuliakan seseorang.


 Akad hibah tidak akan terbentuk melainkan setelah dipenuhi rukun dan syarat-syaratnya iaitu :

  1. Pemberi hibah (al-wahib)
  2. Penerima hibah (al-mauhub lahu)
  3. Barang yang dihibahkan (al-mauhub)
  4. Sighah (ijab qabul).


 Dalam melaksanakan sighah (ijab dan qabul), perkara yang penting untuk dilihat adalah sama ada elemen terimaan atau al-qabd berlaku atau tidak. Al-qabd (penerimaan barang) bermaksud mendapat sesuatu, menguasainya dan boleh melakukan tasarruf (urusan) terhadap barang atau harta tersebut.


 Mengikut mazhab Hanbali dan Maliki, penerimaan barang tidak disyaratkan dalam sesuatu hibah, malah memadai dengan akad semata-mata. Ini bererti apabila berlaku kematian salah seorang atau salah satu pihak sama ada pemberi hibah atau penerima hibah sebelum penyerahan barang, maka hibah itu tidak terbatal.


 Mengikut Abu Hanifah dan Syafie, penerimaan barang merupakan salah satu dari syarat sah hibah. Oleh itu, apabila berlaku kematian salah satu dari dua pihak sebelum penyerahan barang, maka hibah itu terbatal. Dalam mazhab Syafie, al-qabd merupakan syarat luzum, ertinya akad hibah tidak sempurna dan tidak berkuat kuasa dengan ijab dan qabul semata-mata, kecuali selepas al-qabd. Sekiranya al-qabd tidak berlaku maka akad hibah merupakan akad yang tidak mengikat. Oleh itu, pemberi hibah berhak menarik balik hibah tersebut selama mana harta berkenaan berada dalam pemilikannya.


WASIAT


 Dalam mazhab Syafie, wasiat ialah pemberian suatu hak yang boleh dilaksanakan selepas berlakunya kematian pewasiat sama ada dengan menggunakan lafaz atau tidak. Fuqaha’ mentakrifkan wasiat sebagai suatu pemberian oleh seseorang kepada pihak yang lain sama ada benda, hutang atau manfaat untuk dimilik oleh penerima wasiat akan pemberian tersebut selepas kematian pewasiat.


 Berdasarkan kepada definisi-definisi di atas jelas bahawa wasiat yang dibuat oleh seseorang hanya berkuat kuasa selepas berlakunya kematian pewasiat. Dengan ini juga, wasiat adalah berbeza dengan hibah. Justeru itu, wasiat dianggap selesai apabila adanya ijab (penawaran) daripada pewasiat, sedangkan qabul (penerimaan) tidak diperlukan semasa pewasiat masih hidup dan ia hanya diperlukan selepas pewasiat meninggal dunia.


 Mengikut pendapat mazhab sunni yang empat, wasiat tidak diwajibkan ke atas setiap orang yang mempunyai harta dan tidak juga difardukan untuk kedua ibu bapa dan kaum kerabat yang tidak menjadi waris, akan tetapi hukumnya adalah bergantung kepada keadaan-keadaan tertentu.


 Hukum wasiat adalah seperti berikut:

  1. Wajib – jika terdapat tanggungjawab syarie yang perlu dilaksanakan seperti zakat, haji dan hutang-hutang lain dan dia bimbang harta berkenaan habis jika tidak diwasiatkan.
  2. Sunat – jika berwasiat untuk kaum kerabat yang memerlukan sedangkan mereka tidak berhak mendapat harta pusaka. Begitu juga berwasiat kepada orang miskin dan untuk tujuan kebajikan pada jalan Allah.
  3. Harus – jika berwasiat kepada sahabat handai atau orang kaya yang mana mereka bukan dari golongan yang berilmu dan beramal soleh.
  4. Makruh – jika pewasiat seorang yang kurang berada dan mempunyai waris-waris yang ramai serta memerlukan harta.
  5. Haram – jika berwasiat kepada perkara yang haram.


Adakah Hibah dan Wasiat Boleh Ditarik Balik?


HIBAH


 Menurut pendapat mazhab Syafie, Hanbali dan sebahagian fuqaha’ mazhab Maliki penarikan balik hibah boleh berlaku dengan semata-mata ijab dan qabul. Tetapi apabila disertakan dengan peyerahan dan penerimaan barang (al-qabd) maka hibah berkenaan tidak boleh ditarik balik kecuali hibah yang dibuat oleh bapa (termasuk juga ibu, datuk, nenek dan usul yang lain) kepada anak-anaknya selama mana harta itu tidak ada kaitan dengan orang lain.


 Manakala menurut pendapat Imam Ahmad dan mazhab Zahiri, pemberi hibah tidak boleh (haram) menarik balik hibah yang telah dibuat kecuali hibah bapa (termasuk juga ibu, datuk, nenek dan usul yang lain) kepada anak-anaknya. Ini adalah berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Orang yang menarik balik hibahnya sama seperti anjing yang memakan balik muntahnya…” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).


WASIAT


 Sementara wasiat boleh ditarik balik selagi pewasiat masih hidup. Namun, wasiat boleh terbatal dengan keadaan-keadaan tersebut.


 Wasiat boleh terbatal dengan keadaan seperti berikut:

  1. Sekiranya pewasiat hilang keahlian seperti bankrap
  2. Sekiranya pewasiat murtad atau pewasiat menggantungkan wasiat dengan syarat yang tak berlaku
  3. Sekiranya penerima menolak wasiat
  4. Penerima mati sebelum pewasiat
  5. Penerima membunuh pewasiat
  6. Berlaku kerosakan harta wasiat


Berapakah kadar harta yang boleh dihibahkan atau diwasiatkan?


HIBAH


 Islam tidak menetapkan kadar tertentu bagi harta yang hendak dihibahkan. Ini kerana harta yang hendak dihibahkan itu merupakan milik pemberi hibah, maka terpulanglah kepada pemberi hibah membuat pertimbangan terhadap kadar harta yang ingin dihibahkan.


 Jumhur ulamak (Hanafi, Maliki dan Syafie) berpendapat bahawa sunat menyamakan pemberian di antara anak-anak dan pemberian yang lebih kepada salah seorang daripada mereka adalah makruh hukumnya, walaupun pemberian itu sah.


 Menurut mazhab Hanbali, keadilan dalam pemberian hibah kepada anak-anak merupakan perkara yang wajib. Manakala menurut Imam Malik, tidak boleh memberi hibah semua harta kepada sesetengah anaknya dan tidak kepada yang lain.


WASIAT


 Kadar harta yang boleh diwasiatkan oleh pewasiat menurut ketentuan syarak adalah setakat 1/3 sahaja daripada harta bersih peninggalannya pada waktu kematiannya setelah digunakan untuk belanja pengebumian dan penunaian hutang-hutangnya. Oleh itu, wasiat yang melebihi kadar 1/3 harta pewasiat adalah tidak sah kecuali waris-waris bersetuju dengan kadar yang lebih itu.


 Jika waris-waris bersetuju, maka wasiat lebih daripada 1/3 adalah sah, dan jika mereka tidak bersetuju maka wasiat hanya sah setakat 1/3 sahaja dalan lebihan daripada itu menjadi harta pusaka. Ini adalah berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Sa’ad Bin Abu Waqqas berkata:

“Telah datang Rasulullah s.a.w untuk melihatku sedang aku berada di Makkah. Aku berkata, “Wahai Rasulullah, apakah aku harus mewasiatkan semua hartaku.” Baginda menjawab, “Tidak.” Aku berkata, “Sebahagiannya.” Baginda menjawab, “Tidak.” Aku berkata, “Sepertiga.” Baginda menjawab, “Ya, sepertiga.” Dan sepertiga itu banyak. Sesungguhnya apabila engkau meninggalkan ahli waris kaya itu lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka miskin, meminta-minta kepada manusia dengan tangan mereka” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).


 Jika pewasiat tidak mempunyai waris, maka menurut pendapat mazhab Hanafi wasiat yang melebihi 1/3 harta adalah sah. Tetapi menurut pendapat jumhur, wasiat yang melebihi kadar 1/3 adalah tidak harus secara mutlak kerana ia melibatkan hak orang Islam.


 Mengenai masalah kadar sebenar harta yang ada pada pewasiat sama ada diketahui atau sebaliknya atau termasuk harta pertambahan yang diperolehi yang tidak diketahui oleh pewasiat, terdapat perselisihan di kalangan fuqaha’.


 Menurut jumhur fuqaha’ termasuk mazhab Syafie dan Hanafi, pewasiat tidak disyaratkan mengetahui kadar sebenar harta yang ada pada masa ia melakukan wasiat kerana harta sebenar yang diambil kira adalah harta yang ada pada waktu kematiannya.


 Kesan positif daripada sekatan berwasiat hanya sekadar 1/3 sahaja daripada harta peninggalan pewasiat adalah untuk memelihara kebajikan waris-waris pewasiat yang berhak ke atas harta peninggalan tersebut. Ini ialah kerana berkemungkinan sama ada secara sedar atau tidak pewasiat akan menafikan harta peninggalannya kepada waris-waris yang berhak dengan melepaskan kesemua hartanya atau mengurangkan bahagian mereka hingga menjejaskan kadar bahagian mereka.


 Wasiat yang tidak dijelaskan kadar sebenar yang sepatutnya diterima oleh penerima wasiat dan gagal mendapatkan penjelasan yang sebenar daripada kenyataan pewasiat maka menurut mazhab Syafie, Hanafi dan Hanbali terpulanglah kepada waris-waris pewasiat untuk menentukan kadar yang sebenar.


 Walaupun telah ditetapkan kadar maksima harta yang boleh diwasiatkan adalah 1/3 tetapi para sahabat dan para fuqaha’ bersetuju bahawa kadar sebaik-baiknya untuk berwasiat adalah tidak melebihi kadar maksimum tersebut.


 Ini adalah bersandarkan kepada beberapa hadis berkaitan wasiat yang menekankan bahawa berwasiat dengan kadar 1/3 adalah banyak dan menurut hadis yang diriwayatkan oleh Sa’ad bin Waqqas dan Sa’ad bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa kadar 1/3 itu adalah banyak.


 Para sahabat sendiri umpamanya Saidina Abu Bakar dan Saidina Ali tidak berwasiat dengan kadar 1/3 di mana masing-masing berwasiat hanya sekadar 1/5 daripada harta mereka dan begitu juga dengan Saidina Umar yang berwasiat dengan kadar 1/4 bahagian daripada hartanya.


Adakah wasiat boleh diberikan kepada waris?


 Pada asasnya wasiat hanya diberikan kepada bukan waris kerana tujuannya adalah untuk mendekatkan diri dengan Allah dan mengharapkan pahala. Ia juga diharap dapat memenuhi segala kekurangan yang ada ketika hayat.


 Apa yang dimaksudkan dengan waris dalam konteks wasiat ialah orang-orang yang berhak mendapat pusaka dan dalam situasi kes ini anak-anak dan isteri-isteri merupakan waris yang berhak menerima pusaka jika pewasiat meninggal dunia kelak.


 Oleh kerana itu wasiat pada asasnya diberikan kepada bukan waris kerana mereka ini tidak termasuk dalam kalangan orang yang berhak untuk mendapat pusaka. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Allah telah berikan bahagian kepada setiap orang yang berhak. Maka tiada wasiat untuk waris.”


 Bagaimanapun, wasiat kepada ahli waris masih boleh dilaksanakan sekiranya mendapat persetujuan dari ahli waris yang lain. Perlu diingat, ahli waris yang dimaksudkan mestilah ahli waris semasa kematian pewasiat dan bukan ahli waris semasa hayat pewasiat. Jika kesemua ahli waris bersetuju dengan wasiat yang dibuat maka perlaksanaan wasiat tersebut boleh dilaksanakan.