Didalam setiap pensyariatan pasti ada hikmah yang tersembunyi di dalamnya. Antara hikmah yang terkandung di dalam pensyariatan wasiat termasuklah, ianya merupakan amalan kebajikan yang diredhai oleh Allah S.W.T. dan dilakukan oleh mereka yang bertakwa kepadanya dengan cara menggunakan harta dan manfaat yang mereka miliki.Amalan berwasiat ini juga merupakan satu peluang keemasan yang perlu digunakan sebaik-baiknya bagi umat islam untuk menghubungkan kebaikan yang diperolehi di dunia ini dengan pahala dan kebaikan di akhirat nanti.

  Antara hikmah lain berwasiat:

  1. Dapat melaksanakan kewajipan yang dilupakan oleh manusia, di mana melalui wasiat kita boleh membuat pesanan kepada Wasi untuk menyelesaikan hutang atau perkara yang diwajibkan ke atas kita seperti zakat, fidyah, nazar dan lain-lain.

  2. Mendekatkan diri kepada Allah SWT, melalui Wasiat yang dibuat dalam bentuk kebajikan semata-mata mendapatkan redha Allah SWT akan dapat menambah amalan kebajikan.

  3. Menjadi saham di akhirat dan bantuan kepada mereka yang berhajat, khususnya kaum kerabat yang bukan kalangan ahli waris, dapat meringankan beban golongan miskin, dapat menyumbang kepada kemaslahatan masjid-masjid, seterusnya dapat bekerjasama dalam membantu pembangunan dakwah Islam.

  4. Pensyariatan Wasiat juga bersesuaian dengan realiti kehidupan, ianya dapat merealisasikan tujuan kemanusian dalam bermasyrakat untuk memanfaatkan harta mereka, sebagai galakan kepada amalan soleh. Sekiranya seseorang itu meninggal dunia segala harta pusakanya akan diwarisi oleh ahli waris, maka disyariatkan Wasiat agar 1/3 hartanya boleh diwasiatkan sebagai sedekah untuk kesiimbangan semua pihak antara waris dan orang lain.


Sekiranya amalan berwasiat dilaksanakan dengan prosedur dan kaedah yang betul seperti yang digariskan Islam, ianya dapat mencegah daripada berlakunya pertelingkaran di antara ahli waris.