Disyaratkan kepada Pewasiat hendaklah seorang yang sudah baligh, berakal dan membuat pilihan sendiri untuk berwasiat tanpa dipaksa oleh sesiapa. Pewasiat juga hendaklah pemilik sepenuhnya terhadap harta yang akan diwasiatkan.


 Penerima Wasiat (benefisiari) pula terbahagi kepada dua (2) kategori iaitu individu (mua’yin) dan institusi (ghair mua’yin). Sekiranya penerima wasiat dalam bentuk institusi ianya disyaratkan sebuah institusi mendatangkan faedah bukan bertujuan maksiat. Penerima wasiat juga disyaratkan wujud secara hakiki, diketahui dengan jelas dan pandai memiliki dan memberi harta. Sekiranya wasiat dibuat untuk ahli waris maka perlu mendapat persetujuan daripada waris-waris yang lain.


 Dari sudut harta yang diwasiatkan pula, Islam mensyaratkan harta itu hendaklah harta mutaqawwimin iaitu harta yang boleh dimanfaatkan di sisi syarak. Selain itu, harta itu juga boleh dijadikan hak pemilikan serta wujud dalam pemilikan pewasiat pada masa wasiat itu dilakukan,. Harta yang ingin diwasiatkan itu mestilah tidak terikat dengan hutang yang ditanggung oleh pewasiat pada masa kematiannya dan harta itu hendaklah tidak melebihi kadar 1/3 hartaPewasiat kecuali dipersetujui oleh ahli-ahli waris selepas kematiannya.


 Antara syarat yang diletakkan pada sighah ialah sighah wasiat hendaklah dengan lafaz yang sorih, kinayah (sindiran) yang disertai niat ataupun isyarat. Qabul hendaklah dibuat oleh penerima wasiat individu tertentu, jika penerima institusi maka tidak disyaratkan qabul. Qabul oleh penerima wasiat hendaklah dibuat selepas kematian pewasiat dan penerimaan atau penolakan yang dibuat pada masa hidup pewasiat tidak diambil kira.